Posted by on October 16, 2010 under artikel |
Pentingnya Merancang Kewangan
Adakah kita sedar betapa pentingnya merancang kewangan kita? Siapa pun kita, merancang kewangan adalah sangat penting. Jika kita tidak merancang sekarang, bagaimana masa tua kita nanti ? Selagi masih ada masa dan peluang untuk kita berbuat sesuatu. Marilah kita berfikir sejenak tentang masa depan kita dan anak-anak kita. Marilah kita semua sama-sama menyedari dan menitik-beratkan tentang pengurusan kewangan.
Apakah itu merancang kewangan?
Merancang kewangan adalah satu proses dan strategi perancangan yang dirangka dengan baik yang menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan panjang. Menerusi perancangan kewangan ini anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini, arahnya pada masa depan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula.
Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat menyelamatkan kita daripada mengalami krisis kewangan. Tanpa perancangan yang rapi banyak perkara yang tidak dapat kita melakukannya dengan baik.
Hidup mesti ada matlamat dan pengakhirnya. Jadi, kenalah merancang. Kerana setiap apa yang berlaku mesti ada penyebabnya.
Sebagai contoh :
Ingin bersara awa: Bersara maknanya tidak bekerja. Harga barang keperluan seharian semakin meningkat. Jika kita tak menyimpan duit sekarang, mana datangnya duit itu esok hari?
Kematian itu pasti: Tidak semestinya kita akan mati selepas tua. Jika masih tak bersedia untuk buat persediaan untuk orang yang akan terus hidup selepas kita tiada. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan jika hari esok tak ada simpanan? Bayangkan, jika anak-anak yang di tinggalkan masih kecil? Jika keadaan terdesak, adakah mereka akan membuat pinjaman daripada individu yang tak bertauliah? Selalunya kita beranggapan, bila hari itu tiba, pandai-pandailah mereka teruskan kehidupan.
Posted by on under artikel |
Hanya dengan sekeping kad sahaja, orang ramai dapat berbelanja apa saja dan dimana saja. Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai pinjaman. Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang tunai kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu.
Budaya Belanja Dulu Bayar Kemudian
Masyarakat dunia kini lebih gemar menggunakan kad kredit untuk berurusan terutama ketika melancong.Berdasarkan kajian, masyarakat dunia kini memerlukan lebih kurang 14 minggu untuk merancang percutian mereka. Tiga perempat daripada responden mengakui lebih suka merancang percutian secara talian.Cara hidup moden mementingkan keberkesanan dan nilai kepuasan setiap barang dan perkhidmatan digunakan. Kad kredit di antara perkhidmatan yang memberi kemudahan dan kepuasan kepada pemiliknya. Justeru, banyak orang yang berminat memiliki kad kredit untuk kemudahan dalam urusan berkaitan kewangan. Dengan kata lain, di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya untuk mengelak diri terjebak masalah hutang tidak mampu dijelaskan. Fenomena penggunaan kad kredit yang melanda sekarang mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.
Bahaya Berbelanja Terlebih
Disebabkan ingin menunjuk-nunjuk, banyak pemilik kad kredit berbelanja sehingga had maksimum dibenarkan tanpa memikirkan keupayaan membayar balik pinjaman tersebut. Belanja dahulu, soal membayarnya difikirkan kemudian. Antara sikap buruk pemegang kad kredit ialah mengambil mudah soal hutang. Banyak pemilik kad kredit berbelanja lebih daripada kemampuan membayar balik. Sikap demikian memperlihatkan keangkuhan dan berlebih-lebihan dengan kemudahan diberikan.
Kes Bankrap Meningkat
Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang pinjaman dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis ialah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun. Pemilik kad kredit dari golongan ini menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah. Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya adalah ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.
Interest atau Kadar Untung Tinggi
Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah. Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang kad kredit yang semakin bertambah dari bulan ke bulan. Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan kepada Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu.
Ramai yang telah muflis akibat daripada perbelanjaan boros melalui penggunaan kad kredit. Kementerian dijangka mengguna pakai peraturan yang lebih ketat untuk mengekang kemungkinan perbelanjaan besar oleh pemilik kad kredit.